Saturday, November 16, 2013

Terjemahan Pandang : Menterjemahkan Teks Fesyen (BI- BM)



Teks sumber:


             

Bagi terjemahan pandang kali kedua pula, laras teks yang akan dipilih juga ialah fesyen dan bagi kali ini pula, saya telah memilih dua iklan syarikat tudung bawal yang menerangkan cara memakai tudung bawal. Saya juga menghadapi beberapa masalah semasa melakukan terjemahan pandang tentang teks fesyen.

Masalah Pertama : Istilah

Walaupun kedua-dua teks merupakan teks yang amat ringkas dan nampak mudah sahaja, tetapi saya juga mempunyai penggunaan perbendaharaan kata yang merupakan istilah dalam bidang tersebut. Disebabkan perkara ataupun topik yang dibincangkan dalam latihan terjemahan pandang ini bukanlah sesuatu topik yang akan saya berikan perhatian, oleh itu saya tidak tahu apakah yang dirujuk kepada sesuatu benda yang telah disebut dalam teks fesyen tersebut. Contohnya anak tudung dan bawal. Lihat contoh ayat di bawah :



Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Pakai anak tudung daripada koleksi aidijuma. Kemudian pakai bawal daripada rona pelangi. Pastikan panjangnya sama.
First, wear a mini scarf and then put this colourful cloth on top of your head. Adjust it until both sides are equally long.


Dalam ayat tersebut, istilah yang digunakan ialah "anak tudung" dan "bawal". Disebabkan saya tidak akan menggunakan kedua-dua benda tersebut, maka sudah tentu saya tidak tahu padanannya dalam bahasa Inggeris. Tambahan pula, saya tidak tahu pun apakah yang dimaksudkan dengan anak tudung dan bawal. Mula-mulanya, saya mencari maklumat di laman-laman sesawang tetapi semakin banyak maklumat yang saya dapat, semakin keliru untuk saya faham apakah yang dimaksudkan. Justeru, saya pun mendapatkan penjelasan dari kawan-kawan Melayu saya, kemudian barulah saya faham apakah itu anak tudung dan juga bawal.

Padanan-padanan bagi perkataan "anak tudung" yang saya dapat di laman-laman sesawang ialah headscarf, hijab, kerchief dan veil. Berikutnya ialah maksud bagi setiap perkataan tersebut : 

Headscarf
Scarf (kepala)
Hijab
Tudung labuh penutup bahagian kepala, kadang-kala termasuk bahagian muka wanita
Kerchief
(old use) Cloth to cover head, kain tudung
Veil
Piece of cloth worn by women over the head or shoulders; tudung (especially in Muslim countries

Bagi perkataan "bawal" pula tidak dapat saya cari padanan yang sesuai, oleh itu saya kekalkan sahaja dalam terjamahan pandang saya. Akan tetapi bagi perkataan "anak tudung" pula, keempat-empat padanan tersebut adalah tidak sesuai selepas saya membuat pembentangan dalam kelas HBT 303. Sehubungan dengan itu, Dr saya telah mencadangkan satu padanan yang sesuai kepada saya, iaitu perkataan "cornette". Menurut Dr, sekiranya kita gagal mencari padanan yang sesuai bagi sesuatu kata budaya bahasa sumber, maka kita boleh merujuk kembali kepada situasi yang serupa dalam budaya sasaran untuk mencari padanannya. 

Contohnya "snow white". Disebabkan "salji" berwarna putih maka mereka pun menggunakan warna "snow" untuk menunjukkan sesuatu benda yang sangat putih, maka wujudlah frasa "snow white". Akan tetapi, budaya kita tidak mempunyai "salji", oleh itu kita boleh mencari padanan yang situasinya serupa dengan budaya sumber, iaitu putih seperti kapas. Oleh sebab "anak tudung" merupakan sesuatu pakaian yang biasanya dipakai oleh wanita Muslim sahaja, maka kita juga boleh merujuk kepada situasi yang serupa dalam budaya Barat. "Cornette" pula merupakan sejenis tudung yang dipakai oleh wanita beragama Kristian, oleh itu perkataan itu telah dipilih sebagai padanan dalam teks sasaran saya.

Masalah Kedua : Kekaburan

Seterusnya, saya menghadapi masalah ketaksaan yang berlaku dalam teks sumber. Kekaburan itu merujuk kepada makna unit bahasa tidak jelas. Sebelum ini pada pembentangan saya, saya menganggap bahawa kesalahan itu merupakan ketaksaan, tetapi semasa saya meneliti kembali kesalahan itu, barulah saya sedar bahawa kesalahan itu bukan ketaksaan tetapi kekaburan. Kita lihat contoh tadi :



Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Terjemahan Sesuai
Pakai anak tudung daripada koleksi aidijuma. Kemudian pakai bawal daripada rona pelangi. Pastikan panjangnya sama.
First, wear a mini scarf and then put this colourful cloth on top of your head. Adjust it until both sides are equally long.
First, wear a mini scarf and then put this colourful cloth on top of your head. Adjust it until both sides are equally long.

Kekaburan di sini ialah ayat "pastikan panjangnya sama". Pembaca akan mengalami kekeliruan apabila membaca ayat ini kerana adakah "panjang" itu merujuk kepada "panjang" bawal itu sahaja yang perlu sama ataupun "panjang" bagi kedua-dua bawal dan anak tudung itu perlulah sama? Akan tetapi, saya berpendapat bahawa terjemahan yang sesuai juga adalah sama seperti yang telah dilakukan dalam terjemahan pandang, iaitu "adjust it until both sides are equally long".

Hal ini demikian kerana situasi saya bagi terjemahan pandang ini ialah seorang mahasiswi yang ingin menerangkan cara memakai tudung bawal yang lebih berfesyen kepada seorang mahasiswi antarabangsa. Oleh itu, dia boleh menjelaskan sambil memakai tudung bawal itu. Penjelasan bersertakan pergerakan (tunjuk cara) atau dikenali sebagai "demonstration" akan menjadikan kekaburan itu lebih senang difahami. Tindakan itu juga merupakan salah satu terjemahan pandang yang boleh dilakukan sekiranya kita tidak dapat menerangkan atau menyampaikan sesuatu perkara dalam perkataan.

Masalah Ketiga : Perbendaharaan Kata

Saya tidak pasti teks yang dipilih ini menggunakan bahasa Malaysia atau bahasa Indonesia kerana saya tidak faham dengan sesuatu perkataan dalam teks iklan tersebut iaitu perkataan "rona". Oleh itu, saya pun semak perkataan itu di PRPM dan baru tahu bahawa maksud perkataan itu ialah warna. Semasa menyemak perkataan itu, terdapat beberapa blog yang mengatakan bahawa perkataan "rona" merupakan dialek Kedah dan seterusnya saya bertanya kepada kawan Melayu saya yang juga merupakan orang Kedah. Dia juga tidak pasti perkataan "rona" yang saya sebutkan ialah perkataan asal bahasa Malaysia ataupun dialek Kedah tetapi dia mengatakan bahawa perkataan itu lebih kepada kosa kata bahasa Malaysia dan bukannya dialek Kedah.

Walau bagaimanapun, saya juga dapat memahami perkataan itu dengan merujuk kembali kepada teks iklan itu sahaja. Lihat contoh yang terdapat dalam teks sumber tersebut : 

Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Terjemahan Sesuai
Pakai anak tudung daripada koleksi aidijuma. Kemudian pakai bawal daripada rona pelangi. Pastikan panjangnya sama.
First, wear a mini scarf and then put this colourful cloth on top of your head. Adjust it until both sides are equally long.
First, wear a mini scarf and then put this colourful cloth on top of your head. Adjust it until both sides are equally long.

"Rona" pelangi telah menunjukkan bahawa perkataan itu berkaitan dengan warna dan merujuk kembali kepada gambar rajah teks iklan itu, tidak menjadi masalah bagi saya untuk mengetahui makna perkataan itu. Seterusnya, saya telah menterjemahkan "rona pelangi" kepada "colourful" semasa saya melakukan terjemahan pandang kerana kedua-dua perkataan itu boleh bergabung menjadi sebuah perktaan dan tidak mengubah maknanya. Akan tetapi sekiranya kita melihat kepada gambar rajah itu, warna tudung bawal itu tidak berwarna pelangi dan teks iklan itu sebenarnya bermasalah. Akan tetapi, kita sebagai seorang penterjemah atau jurubahasa perlulah sentiasa membuat keputusan sendiri sama ada perlu mengubah maklumat itu atau tidak asalkan makna mesej itu tidak berubah atau terpesong. 


Masalah Keempat : Kesalahan Teks Sumber

Kadang-kala, teks sumber tidak semestinya adalah betul dan kita sebagai penterjemah atau jurubahasa haruslah melakukan pembetulan masing-masing supaya maklumat atau mesej yang betul sahaja yang akan disampaikan. Semasa melakukan terjemahan pandang tentang teks iklan ini, saya terserempak dengan kesalahan teks sumber yang agak jelas dikesan, lihat contoh di bawah :


Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Terjemahan Sesuai
Satu bahagian di bawah ke telinga dan pin di tepi telinga.
One side beneath your ear and pin it beside it.
Pin it beside your ear.

Kesalahan ini ialah frasa "di bawah" yang pada pendapat saya frasa itu sepatutnya ialah kata kerja pasif "dibawa" dan bukan "di bawah" (beneath). Sekiranya seseorang penterjemah itu tidak menguasai bahasa Malaysia dengan baik, maka kemungkinan besar beliau akan tersilap menterjemahkannya menjadi beneath. Sehubungan dengan itu, saya telah memberikan cadangan yang lebih sesuai iaitu "dibawa" dan bagi terjemahan yang sesuai pula, saya telah menggugurkan kata kerja "dibawa" itu kerana saya berpendapat bahawa kata kerja itu tidak perlu disebutkan semasa melakukan terjemahan pandang yang bersifat "tunjuk cara".

Masalah Kelima : Kesalahan Tatabahasa

Kesalahan tatabahasa juga merupakan situasi yang akan selalu dihadapi oleh penterjemah / jurubahasa kerana bukan semua orang dapat menguasai sesuatu bahasa dengan amat baik sekali. Akan tetapi, kesalahan tatabahasa teks iklan itu adalah agak jelas kerana kesalahan itu tidak seharusnya dilakukan oleh pengguna bahasa itu. Lihat contoh di bawah :


Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Terjemahan Sesuai
Pin ia dia dengan kemas di atas bahu.
Pin it neatly on your shoulder.
Pin it neatly on your shoulder.

Kemudian hujungnya dibawa ke sebelah luar untuk di pin di tepi.
Then bring the end of it outside and pin it there.
Then bring it out and pin it there.

Disebabkan kesalahan tatabahasa tersebut merupakan sesuatu yang mudah dikenal pasti, oleh itu saya tidak mempunyai masalah untuk memahaminya dan dapat membetulkannya semasa melakukan terjemahan pandang. Kesalahan itu ialah 

ia dia
Unsur lewah dan tidak betul dengan penggunaan “ia”
di pin
Perlu didekatkan kerana perkataan itu merupakan satu kata kerja

Kesalahan sebegini walaupun kelihatan remeh sahaja tetapi masih ramai orang yang akan melakukan terjemahan tersebut. Sebagai seorang penterjemah / jurubahasa yang profesional, kita haruslah menguasai kedua-dua bahasa sumber dan bahasa sasaran dengan baik sekali supaya dapat mengesan kesalahan-kesalahan remeh ini dan tidak akan melakukan kesalahan tersebut.

Kesalahan Keenam : Istilah Ciptaan Sendiri

Kadang-kala, kita akan menemui sesetengah perkataan yang tidak pernah dibaca dalam mana-mana bacaan dan kita akan ingin mencari makna perkataan itu supaya mengenal pasti maksudnya. Contoh seperti perkataan "rona" tadi, saya perlu menyemaknya dalam kamus terlebih dahulu untuk mengetahui maksudnya. Akan tetapi saya telah mendapati bahawa satu perkataan dalam teks iklan tersebut tidak wujud dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Lihat contoh :


Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Terjemahan Sesuai
Ambil bahagian pintalan tadi, kemudian diletakkan ia di atas bahu, kemudian pin ia dengan kemas.
Take the twisted part and put it on your shoulder and pin it neatly.
Take that twisted part and pin it on your shoulder neatly.

Perkataan "pintalan" itu sebenarnya tidak wujud dalam Kamus Dewan dan saya berpendapat bahawa perkataan itu merupakan istilah yang dicipta sendiri oleh pengiklan atau pihak-pihak tertentu. Oleh itu, saya hanya boleh menyemak maksud perkataan itu dengan hanya menyemak kata asalnya iaitu "pintal", barulah saya memahami kata nama "pintalan" itu. Sehubungan dengan itu, saya pun menterjemahkan "pintalan" itu ke dalam makna asalnya sahaja iaitu "twisted". Maksudnya masih adalah sama dan mesej dapat disampaikan walaupun kita boleh melihat bahawa ayat sumber itu masih mempunyai kesalahan dari segi tatabahasa.

Walau bagaimanapun, seseorang penterjemah atau jurubahasa tidak harus terlalu bergantung kepada teks sumber kerana teks sumber itu tidak semestinya adalah betul dan tepat. Oleh itu, kita harus melakukan pembetulan dan pengubahsuaian dengan prinsip tidak mengubah makna asal teks sumber tersebut. 

Cadangan

1. Sebagai seorang penterjemah/jurubahasa, kita mesti menguasai kedua-dua bahasa sumber dan bahasa sasaran dengan baik supaya kita tidak akan menginterpretasikan teks sumber dengan salah dan dapat membetulkan sekiranya teks sumber adalah salah.

2. Sekiranya penterjemah/jurubahasa menterjemahkan teks dalam sesuatu bidang yang tidak mahir, maka kita boleh merujuk kepada pakar bidang tersebut ataupun pihak yang berkaitan ataupun mahir dalam bidang tersebut supaya kita benar-benar memahami sesuatu teks sumber.

3. Seseorang penterjemah/jurubahasa harus cekap mengaplikasikan kaedah-kaedah terjemahan dan tidak harus terlalu bergantung kepada teks sumber kerana teks sumber tidak semestinya adalah 100% tepat dan kita perlu melakukan pembetulan dan pengubahsuaian sekiranya perlu.

4. Seseorang penterjemah/jurubahasa haruslah sentiasa bersedia untuk menghadapi segala masalah yang akan dihadapi semasa melakukan terjemahan.

Glosari

1. rona = warna

-----------------------------------------------------------------------------

Tunjuk ajar dan kritikan serta cadangan amat dialu-alukan. Maklum balas akan saya buat secepat yang mungkin. Terima kasih atas kunjungan anda.

Terjemahan pandang

No comments:

Post a Comment