Bagi terjemahan pandang kali ketiga, saya telah memilih tiga teks yang berkaitan dengan bidang ekonomi. Situasi yang diberikan ialah guru yang akan mengajar subjek ekonomi dalam bahasa Inggeris.
Disebabkan saya pernah mengambil subjek ekonomi semasa di peringkat pra universiti, maka tidak menjadi masalah bagi saya dalam memahami teks ekonomi tersebut. Akan tetapi, saya menghadapi masalah semasa ingin menyampaikan maklumat yang sama dalam bahasa Inggeris. Hal tersebut telah menyebaban saya kelihatan tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang itu. Saya telah menghadapi tiga masalah yang utama.
Masalah Pertama : Istilah dan Penggunaan kata
Disebabkan saya juga mempelajari subjek ekonomi dalam bahasa Malaysia, maka saya tidak tahu akan istilah yang digunakan dalam bahasa Inggeris. Maka, saya telah mencari padanannya di laman-laman sesawang, contohnya Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Di samping itu, singkatan-singkatan yang digunakan untuk mewakili sesuatu istilah dalam bidang ekonomi sebenarnya juga dalam bahasa Inggeris. Contohnya istilah "jumlah utiliti", singkatan yang digunakan dalam bahasa Malaysia ialah "TU" dan "TU" itu merujuk kepada "Total Utility" dalam bahasa Inggeris. Maka tidak menjadi masalah besar bagi seseorang cikgu untuk menerangkan semula sesuatu istilah dalam bahasa Inggeris.
Contoh ayat:
Teks Sumber
|
Terjemahan Pandang
|
Teks yang Berbau “Ekonomi”
|
Hukum utiliti sut berkurangan menyatakan bahawa penggunaan sesuatu
barang secara berterusan akan menyebabkan utiliti yang diterima semakin
berkurang
|
Law of decreasing marginal utility states that the continuous usage
of a product will lead to a decrease in the received utility.
|
Law of diminishing marginal utility states that as a person increases
consumption of a product, there is a decline in the marginal utility that
person derives from consuming each additional unit of that product.
|
Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah perkataan Inggeris yang maknanya sama, tetapi banyak digunakan dalam bidang ekonomi. Contohnya perkataan "decreasing" dan "diminishing". Kedua-dua perkataan itu mendukung makna yang sama tetapi perkataan kedua iaitu "diminishing" lebih kerap digunakan dalam bidang ekonomi dan bukannya "decreasing". Hal ini demikian mungkin disebabkan oleh hanya penggunaan yang khusus dapat membawa makna yang tepat dalam bidang ekonomi. Contoh-contoh lain seperti "usage" dan "consumption" dan "decrease" dan "decline". Perkataan "consumption" dan "decline" telah dipilih dan bukannya perkataan "usage" dan "decrease". Penggunaan perkataan atau pemilihan diksi dalam bidang ekonomi adalah lebih khusus dan tepat dengan makna "ekonomi". Bagi penterjemah-penterjemah yang jarang menyentuh teks-teks ekonomi dan mereka tidak akan mengetahui penggunaan perbendaharaan kata dalam teks ekonomi, maka mereka perlulah membuat persediaan terlebih dahulu seperti membaca bahan bacaan yang berkaitan atau mencari padanan-padanan yang sesuai di laman-laman sesawang sebelum melakukan terjemahan pandang.
Masalah Kedua : Ayat Berbau Ekonomi
Disebabkan laras teks atau bahan bacaan tersebut ialah ekonomi, maka terjemahan pandang yang dilakukan itu juga perlulah berbau "ekonomi". Akan tetapi, saya jarang membaca teks yang berkaitan dengan ekonomi dalam bahasa Inggeris, maka agak susah bagi saya untuk menterjemahkan teks itu ke dalam teks bahasa Inggeris yang berbau "ekonomi". Contohnya :
|
Teks Sumber
|
Terjemahan Pandang
|
Teks yang Berbau "Ekonomi"
|
|
Pada tingkat keluaran Q1, kos puratanya ialah BQ1. Ia
ditunjukkan pada bahagian kelus kos purata yang sedang menurun.
|
When the quantity of output is at Q1, the average cost is BQ1
and we can see it shown at the point B on the curve of average cost which is
declining.
|
When the output level is at Q1, the average cost is BQ1
and it shown at the point B on falling average cost (AC) curve.
|
Sekiranya berbanding terjemahan pandang dengan teks terjemahan yang lebih berbau "ekonomi", kita boleh melihat kepada struktur ayat teks berbau "ekonomi" itu adalah lebih ringkas dan mudah difahami. Kalau seseorang penterjemah atau jurubahasa yang menceburi dalam terjemahan laras-laras tertentu, maka mereka perlulah banyak membuat persediaan supaya teks terjemahan yang dihasilkan adalah berkualiti.
Masalah Ketiga : Terjemahan Intersemiotik
Masalah ketiga merupakan kekangan yang terbesar sepanjang latihan terjemahan pandang yang telah saya lakukan selama ini. Hal ini demikian kerana terjemahan intersemiotik yang perlu menterjemahkan teks visual atau gambar kepada teks tulisan. Teks yang dipilih itu juga berkaitan dengan bidang ekonomi iaitu ekonomi negara 2013 pada harga malar 2005. Sebelum saya melakukan terjemahan pandang, saya telah membuat kajian tentang cara menjelaskan sebuah gambar rajah yang mempunyai banyak komponen yang perlu diberikan perhatian. Contohnya, tajuk kena disebutkan dahulu sebelum kita melakukan terjemahan pandang tentang isi kandungannya. Selain itu, kita juga perlu menyatakan sumber gambar rajah itu yang telah dipilih itu dan memahami konteks gambar rajah tersebut.
Di samping itu, saya juga berlatih untuk menyebut angka yang agak besar kerana sebutan bagi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris adalah amat berbeza. Semasa melakukan terjemahan pandang berdasarkan gambar rajah tersebut, saya akan menghadapi masalah ketidakpastian dalam menterjemahkan konteks atau isi gambar rajah itu. Maksudnya ialah saya tidak pasti bahawa bahagian manakah yang perlu saya terjemahkan dahulu. Hal ini demikian kerana saya tidak tahu apakah yang lebih penting dan perlu disebutkan terlebih dahulu tentang isi kandungan gambar rajah tersebut. Walau bagaimanapun, peluang ini merupakan peluang yang baik bagi saya untuk mencuba terjemahan intersemiotik yang jarang akan saya lakukan sebelum ini.
Cadangan :
1. Sebagai seorang penterjemah atau jurubahasa, kita mesti menguasai bahasa sumber dan bahasa sasaran dengan baik sekali supaya tidak akan menyampaikan mesej yang salah semasa melakukan terjemahan.
2. Seseorang penterjemah atau jurubahasa juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang yang mencukupi sebelum melakukan terjemahan yang berkaitan dengan bidang tersebut kerana penggunaan kata dan istilah adalah berbeza-beza antara bidang-bidang yang berlainan.
3. Setelah melakukan latihan terjemahan pandang yang banyak terutamanya terjemahan intersemiotik, saya mendapati bahawa kita tidak perlu sangat terlalu bergantun kepada struktur ayat bahasa sumber kerana sistem tatabahasa adalah berbeza antara bahasa-bahasa. Oleh itu, penyampaian mesej itu sebenarnya kurang penting asalkan maknanya tidak berubah dalam teks sasaran.
-----------------------------------------------------------------------------
Tunjuk ajar dan kritikan serta cadangan amat dialu-alukan. Maklum balas akan saya buat secepat yang mungkin. Terima kasih atas kunjungan anda.

