Sunday, November 24, 2013

Terjemahan Pandang : Teks Ekonomi




Bagi terjemahan pandang kali ketiga, saya telah memilih tiga teks yang berkaitan dengan bidang ekonomi. Situasi yang diberikan ialah guru yang akan mengajar subjek ekonomi dalam bahasa Inggeris.

Disebabkan saya pernah mengambil subjek ekonomi semasa di peringkat pra universiti, maka tidak menjadi masalah bagi saya dalam memahami teks ekonomi tersebut. Akan tetapi, saya menghadapi masalah semasa ingin menyampaikan maklumat yang sama dalam bahasa Inggeris. Hal tersebut telah menyebaban saya kelihatan tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang itu. Saya telah menghadapi tiga masalah yang utama.

Masalah Pertama : Istilah dan Penggunaan kata

Disebabkan saya juga mempelajari subjek ekonomi dalam bahasa Malaysia, maka saya tidak tahu akan istilah yang digunakan dalam bahasa Inggeris. Maka, saya telah mencari padanannya di laman-laman sesawang, contohnya Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Di samping itu, singkatan-singkatan yang digunakan untuk mewakili sesuatu istilah dalam bidang ekonomi sebenarnya juga dalam bahasa Inggeris. Contohnya istilah "jumlah utiliti", singkatan yang digunakan dalam bahasa Malaysia ialah "TU" dan "TU" itu merujuk kepada "Total Utility" dalam bahasa Inggeris. Maka tidak menjadi masalah besar bagi seseorang cikgu untuk menerangkan semula sesuatu istilah dalam bahasa Inggeris.

Contoh ayat:


Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Teks yang Berbau “Ekonomi”
Hukum utiliti sut berkurangan menyatakan bahawa penggunaan sesuatu barang secara berterusan akan menyebabkan utiliti yang diterima semakin berkurang
Law of decreasing marginal utility states that the continuous usage of a product will lead to a decrease in the received utility.
Law of diminishing marginal utility states that as a person increases consumption of a product, there is a decline in the marginal utility that person derives from consuming each additional unit of that product.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah perkataan Inggeris yang maknanya sama, tetapi banyak digunakan dalam bidang ekonomi. Contohnya perkataan "decreasing" dan "diminishing". Kedua-dua perkataan itu mendukung makna yang sama tetapi perkataan kedua  iaitu "diminishing" lebih kerap digunakan dalam bidang ekonomi dan bukannya "decreasing". Hal ini demikian mungkin disebabkan oleh hanya penggunaan yang khusus dapat membawa makna yang tepat dalam bidang ekonomi. Contoh-contoh lain seperti "usage" dan "consumption" dan "decrease" dan "decline". Perkataan "consumption" dan "decline" telah dipilih dan bukannya perkataan "usage" dan "decrease". Penggunaan perkataan atau pemilihan diksi dalam bidang ekonomi adalah lebih khusus dan tepat dengan makna "ekonomi". Bagi penterjemah-penterjemah yang jarang menyentuh teks-teks ekonomi dan mereka tidak akan mengetahui penggunaan perbendaharaan kata dalam teks ekonomi, maka mereka perlulah membuat persediaan terlebih dahulu seperti membaca bahan bacaan yang berkaitan atau mencari padanan-padanan yang sesuai di laman-laman sesawang sebelum melakukan terjemahan pandang.

Masalah Kedua : Ayat Berbau Ekonomi

Disebabkan laras teks atau bahan bacaan tersebut ialah ekonomi, maka terjemahan pandang yang dilakukan itu juga perlulah berbau "ekonomi". Akan tetapi, saya jarang membaca teks yang berkaitan dengan ekonomi dalam bahasa Inggeris,  maka agak susah bagi saya untuk menterjemahkan teks itu ke dalam teks bahasa Inggeris yang berbau "ekonomi". Contohnya :



Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Teks yang Berbau "Ekonomi"
Pada tingkat keluaran Q1, kos puratanya ialah BQ1. Ia ditunjukkan pada bahagian kelus kos purata yang sedang menurun.
When the quantity of output is at Q1, the average cost is BQ1 and we can see it shown at the point B on the curve of average cost which is declining.
When the output level is at Q1,  the average cost is BQ1 and it  shown at the point B on falling  average cost (AC) curve.

Sekiranya berbanding terjemahan pandang dengan teks terjemahan yang lebih berbau "ekonomi", kita boleh melihat kepada struktur ayat teks berbau "ekonomi" itu adalah lebih ringkas dan mudah difahami. Kalau seseorang penterjemah atau jurubahasa yang menceburi dalam terjemahan laras-laras tertentu, maka mereka perlulah banyak membuat persediaan supaya teks terjemahan yang dihasilkan adalah berkualiti.

Masalah Ketiga : Terjemahan Intersemiotik

Masalah ketiga merupakan kekangan yang terbesar sepanjang latihan terjemahan pandang yang telah saya lakukan selama ini. Hal ini demikian kerana terjemahan intersemiotik yang perlu menterjemahkan teks visual atau gambar kepada teks tulisan. Teks yang dipilih itu juga berkaitan dengan bidang ekonomi iaitu ekonomi negara 2013 pada harga malar 2005. Sebelum saya melakukan terjemahan pandang, saya telah membuat kajian tentang cara menjelaskan sebuah gambar rajah yang mempunyai banyak komponen yang perlu diberikan perhatian. Contohnya, tajuk kena disebutkan dahulu sebelum kita melakukan terjemahan pandang tentang isi kandungannya. Selain itu, kita juga perlu menyatakan sumber gambar rajah itu yang telah dipilih itu dan memahami konteks gambar rajah tersebut.


Di samping itu, saya juga berlatih untuk menyebut angka yang agak besar kerana sebutan bagi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris adalah amat berbeza. Semasa melakukan terjemahan pandang berdasarkan gambar rajah tersebut, saya akan menghadapi masalah ketidakpastian dalam menterjemahkan konteks atau isi gambar rajah itu. Maksudnya ialah saya tidak pasti bahawa bahagian manakah yang perlu saya terjemahkan dahulu. Hal ini demikian kerana saya tidak tahu apakah yang lebih penting dan perlu disebutkan terlebih dahulu tentang isi kandungan gambar rajah tersebut. Walau bagaimanapun, peluang ini merupakan peluang yang baik bagi saya untuk mencuba terjemahan intersemiotik yang jarang akan saya lakukan sebelum ini.

Cadangan :

1. Sebagai seorang penterjemah atau jurubahasa, kita mesti menguasai bahasa sumber dan bahasa sasaran dengan baik sekali supaya tidak akan menyampaikan mesej yang salah semasa melakukan terjemahan.


2. Seseorang penterjemah atau jurubahasa juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang yang mencukupi sebelum melakukan terjemahan yang berkaitan dengan bidang tersebut kerana penggunaan kata dan istilah adalah berbeza-beza antara bidang-bidang yang berlainan.

3. Setelah melakukan latihan terjemahan pandang yang banyak terutamanya terjemahan intersemiotik, saya mendapati bahawa kita tidak perlu sangat terlalu bergantun kepada struktur ayat bahasa sumber kerana sistem tatabahasa adalah berbeza antara bahasa-bahasa. Oleh itu, penyampaian mesej itu sebenarnya kurang penting asalkan maknanya tidak berubah dalam teks sasaran.

-----------------------------------------------------------------------------

Tunjuk ajar dan kritikan serta cadangan amat dialu-alukan. Maklum balas akan saya buat secepat yang mungkin. Terima kasih atas kunjungan anda.

Saturday, November 16, 2013

Terjemahan Pandang : Menterjemahkan Teks Fesyen (BI- BM)



Teks sumber:


             

Bagi terjemahan pandang kali kedua pula, laras teks yang akan dipilih juga ialah fesyen dan bagi kali ini pula, saya telah memilih dua iklan syarikat tudung bawal yang menerangkan cara memakai tudung bawal. Saya juga menghadapi beberapa masalah semasa melakukan terjemahan pandang tentang teks fesyen.

Masalah Pertama : Istilah

Walaupun kedua-dua teks merupakan teks yang amat ringkas dan nampak mudah sahaja, tetapi saya juga mempunyai penggunaan perbendaharaan kata yang merupakan istilah dalam bidang tersebut. Disebabkan perkara ataupun topik yang dibincangkan dalam latihan terjemahan pandang ini bukanlah sesuatu topik yang akan saya berikan perhatian, oleh itu saya tidak tahu apakah yang dirujuk kepada sesuatu benda yang telah disebut dalam teks fesyen tersebut. Contohnya anak tudung dan bawal. Lihat contoh ayat di bawah :



Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Pakai anak tudung daripada koleksi aidijuma. Kemudian pakai bawal daripada rona pelangi. Pastikan panjangnya sama.
First, wear a mini scarf and then put this colourful cloth on top of your head. Adjust it until both sides are equally long.


Dalam ayat tersebut, istilah yang digunakan ialah "anak tudung" dan "bawal". Disebabkan saya tidak akan menggunakan kedua-dua benda tersebut, maka sudah tentu saya tidak tahu padanannya dalam bahasa Inggeris. Tambahan pula, saya tidak tahu pun apakah yang dimaksudkan dengan anak tudung dan bawal. Mula-mulanya, saya mencari maklumat di laman-laman sesawang tetapi semakin banyak maklumat yang saya dapat, semakin keliru untuk saya faham apakah yang dimaksudkan. Justeru, saya pun mendapatkan penjelasan dari kawan-kawan Melayu saya, kemudian barulah saya faham apakah itu anak tudung dan juga bawal.

Padanan-padanan bagi perkataan "anak tudung" yang saya dapat di laman-laman sesawang ialah headscarf, hijab, kerchief dan veil. Berikutnya ialah maksud bagi setiap perkataan tersebut : 

Headscarf
Scarf (kepala)
Hijab
Tudung labuh penutup bahagian kepala, kadang-kala termasuk bahagian muka wanita
Kerchief
(old use) Cloth to cover head, kain tudung
Veil
Piece of cloth worn by women over the head or shoulders; tudung (especially in Muslim countries

Bagi perkataan "bawal" pula tidak dapat saya cari padanan yang sesuai, oleh itu saya kekalkan sahaja dalam terjamahan pandang saya. Akan tetapi bagi perkataan "anak tudung" pula, keempat-empat padanan tersebut adalah tidak sesuai selepas saya membuat pembentangan dalam kelas HBT 303. Sehubungan dengan itu, Dr saya telah mencadangkan satu padanan yang sesuai kepada saya, iaitu perkataan "cornette". Menurut Dr, sekiranya kita gagal mencari padanan yang sesuai bagi sesuatu kata budaya bahasa sumber, maka kita boleh merujuk kembali kepada situasi yang serupa dalam budaya sasaran untuk mencari padanannya. 

Contohnya "snow white". Disebabkan "salji" berwarna putih maka mereka pun menggunakan warna "snow" untuk menunjukkan sesuatu benda yang sangat putih, maka wujudlah frasa "snow white". Akan tetapi, budaya kita tidak mempunyai "salji", oleh itu kita boleh mencari padanan yang situasinya serupa dengan budaya sumber, iaitu putih seperti kapas. Oleh sebab "anak tudung" merupakan sesuatu pakaian yang biasanya dipakai oleh wanita Muslim sahaja, maka kita juga boleh merujuk kepada situasi yang serupa dalam budaya Barat. "Cornette" pula merupakan sejenis tudung yang dipakai oleh wanita beragama Kristian, oleh itu perkataan itu telah dipilih sebagai padanan dalam teks sasaran saya.

Masalah Kedua : Kekaburan

Seterusnya, saya menghadapi masalah ketaksaan yang berlaku dalam teks sumber. Kekaburan itu merujuk kepada makna unit bahasa tidak jelas. Sebelum ini pada pembentangan saya, saya menganggap bahawa kesalahan itu merupakan ketaksaan, tetapi semasa saya meneliti kembali kesalahan itu, barulah saya sedar bahawa kesalahan itu bukan ketaksaan tetapi kekaburan. Kita lihat contoh tadi :



Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Terjemahan Sesuai
Pakai anak tudung daripada koleksi aidijuma. Kemudian pakai bawal daripada rona pelangi. Pastikan panjangnya sama.
First, wear a mini scarf and then put this colourful cloth on top of your head. Adjust it until both sides are equally long.
First, wear a mini scarf and then put this colourful cloth on top of your head. Adjust it until both sides are equally long.

Kekaburan di sini ialah ayat "pastikan panjangnya sama". Pembaca akan mengalami kekeliruan apabila membaca ayat ini kerana adakah "panjang" itu merujuk kepada "panjang" bawal itu sahaja yang perlu sama ataupun "panjang" bagi kedua-dua bawal dan anak tudung itu perlulah sama? Akan tetapi, saya berpendapat bahawa terjemahan yang sesuai juga adalah sama seperti yang telah dilakukan dalam terjemahan pandang, iaitu "adjust it until both sides are equally long".

Hal ini demikian kerana situasi saya bagi terjemahan pandang ini ialah seorang mahasiswi yang ingin menerangkan cara memakai tudung bawal yang lebih berfesyen kepada seorang mahasiswi antarabangsa. Oleh itu, dia boleh menjelaskan sambil memakai tudung bawal itu. Penjelasan bersertakan pergerakan (tunjuk cara) atau dikenali sebagai "demonstration" akan menjadikan kekaburan itu lebih senang difahami. Tindakan itu juga merupakan salah satu terjemahan pandang yang boleh dilakukan sekiranya kita tidak dapat menerangkan atau menyampaikan sesuatu perkara dalam perkataan.

Masalah Ketiga : Perbendaharaan Kata

Saya tidak pasti teks yang dipilih ini menggunakan bahasa Malaysia atau bahasa Indonesia kerana saya tidak faham dengan sesuatu perkataan dalam teks iklan tersebut iaitu perkataan "rona". Oleh itu, saya pun semak perkataan itu di PRPM dan baru tahu bahawa maksud perkataan itu ialah warna. Semasa menyemak perkataan itu, terdapat beberapa blog yang mengatakan bahawa perkataan "rona" merupakan dialek Kedah dan seterusnya saya bertanya kepada kawan Melayu saya yang juga merupakan orang Kedah. Dia juga tidak pasti perkataan "rona" yang saya sebutkan ialah perkataan asal bahasa Malaysia ataupun dialek Kedah tetapi dia mengatakan bahawa perkataan itu lebih kepada kosa kata bahasa Malaysia dan bukannya dialek Kedah.

Walau bagaimanapun, saya juga dapat memahami perkataan itu dengan merujuk kembali kepada teks iklan itu sahaja. Lihat contoh yang terdapat dalam teks sumber tersebut : 

Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Terjemahan Sesuai
Pakai anak tudung daripada koleksi aidijuma. Kemudian pakai bawal daripada rona pelangi. Pastikan panjangnya sama.
First, wear a mini scarf and then put this colourful cloth on top of your head. Adjust it until both sides are equally long.
First, wear a mini scarf and then put this colourful cloth on top of your head. Adjust it until both sides are equally long.

"Rona" pelangi telah menunjukkan bahawa perkataan itu berkaitan dengan warna dan merujuk kembali kepada gambar rajah teks iklan itu, tidak menjadi masalah bagi saya untuk mengetahui makna perkataan itu. Seterusnya, saya telah menterjemahkan "rona pelangi" kepada "colourful" semasa saya melakukan terjemahan pandang kerana kedua-dua perkataan itu boleh bergabung menjadi sebuah perktaan dan tidak mengubah maknanya. Akan tetapi sekiranya kita melihat kepada gambar rajah itu, warna tudung bawal itu tidak berwarna pelangi dan teks iklan itu sebenarnya bermasalah. Akan tetapi, kita sebagai seorang penterjemah atau jurubahasa perlulah sentiasa membuat keputusan sendiri sama ada perlu mengubah maklumat itu atau tidak asalkan makna mesej itu tidak berubah atau terpesong. 


Masalah Keempat : Kesalahan Teks Sumber

Kadang-kala, teks sumber tidak semestinya adalah betul dan kita sebagai penterjemah atau jurubahasa haruslah melakukan pembetulan masing-masing supaya maklumat atau mesej yang betul sahaja yang akan disampaikan. Semasa melakukan terjemahan pandang tentang teks iklan ini, saya terserempak dengan kesalahan teks sumber yang agak jelas dikesan, lihat contoh di bawah :


Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Terjemahan Sesuai
Satu bahagian di bawah ke telinga dan pin di tepi telinga.
One side beneath your ear and pin it beside it.
Pin it beside your ear.

Kesalahan ini ialah frasa "di bawah" yang pada pendapat saya frasa itu sepatutnya ialah kata kerja pasif "dibawa" dan bukan "di bawah" (beneath). Sekiranya seseorang penterjemah itu tidak menguasai bahasa Malaysia dengan baik, maka kemungkinan besar beliau akan tersilap menterjemahkannya menjadi beneath. Sehubungan dengan itu, saya telah memberikan cadangan yang lebih sesuai iaitu "dibawa" dan bagi terjemahan yang sesuai pula, saya telah menggugurkan kata kerja "dibawa" itu kerana saya berpendapat bahawa kata kerja itu tidak perlu disebutkan semasa melakukan terjemahan pandang yang bersifat "tunjuk cara".

Masalah Kelima : Kesalahan Tatabahasa

Kesalahan tatabahasa juga merupakan situasi yang akan selalu dihadapi oleh penterjemah / jurubahasa kerana bukan semua orang dapat menguasai sesuatu bahasa dengan amat baik sekali. Akan tetapi, kesalahan tatabahasa teks iklan itu adalah agak jelas kerana kesalahan itu tidak seharusnya dilakukan oleh pengguna bahasa itu. Lihat contoh di bawah :


Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Terjemahan Sesuai
Pin ia dia dengan kemas di atas bahu.
Pin it neatly on your shoulder.
Pin it neatly on your shoulder.

Kemudian hujungnya dibawa ke sebelah luar untuk di pin di tepi.
Then bring the end of it outside and pin it there.
Then bring it out and pin it there.

Disebabkan kesalahan tatabahasa tersebut merupakan sesuatu yang mudah dikenal pasti, oleh itu saya tidak mempunyai masalah untuk memahaminya dan dapat membetulkannya semasa melakukan terjemahan pandang. Kesalahan itu ialah 

ia dia
Unsur lewah dan tidak betul dengan penggunaan “ia”
di pin
Perlu didekatkan kerana perkataan itu merupakan satu kata kerja

Kesalahan sebegini walaupun kelihatan remeh sahaja tetapi masih ramai orang yang akan melakukan terjemahan tersebut. Sebagai seorang penterjemah / jurubahasa yang profesional, kita haruslah menguasai kedua-dua bahasa sumber dan bahasa sasaran dengan baik sekali supaya dapat mengesan kesalahan-kesalahan remeh ini dan tidak akan melakukan kesalahan tersebut.

Kesalahan Keenam : Istilah Ciptaan Sendiri

Kadang-kala, kita akan menemui sesetengah perkataan yang tidak pernah dibaca dalam mana-mana bacaan dan kita akan ingin mencari makna perkataan itu supaya mengenal pasti maksudnya. Contoh seperti perkataan "rona" tadi, saya perlu menyemaknya dalam kamus terlebih dahulu untuk mengetahui maksudnya. Akan tetapi saya telah mendapati bahawa satu perkataan dalam teks iklan tersebut tidak wujud dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Lihat contoh :


Teks Sumber
Terjemahan Pandang
Terjemahan Sesuai
Ambil bahagian pintalan tadi, kemudian diletakkan ia di atas bahu, kemudian pin ia dengan kemas.
Take the twisted part and put it on your shoulder and pin it neatly.
Take that twisted part and pin it on your shoulder neatly.

Perkataan "pintalan" itu sebenarnya tidak wujud dalam Kamus Dewan dan saya berpendapat bahawa perkataan itu merupakan istilah yang dicipta sendiri oleh pengiklan atau pihak-pihak tertentu. Oleh itu, saya hanya boleh menyemak maksud perkataan itu dengan hanya menyemak kata asalnya iaitu "pintal", barulah saya memahami kata nama "pintalan" itu. Sehubungan dengan itu, saya pun menterjemahkan "pintalan" itu ke dalam makna asalnya sahaja iaitu "twisted". Maksudnya masih adalah sama dan mesej dapat disampaikan walaupun kita boleh melihat bahawa ayat sumber itu masih mempunyai kesalahan dari segi tatabahasa.

Walau bagaimanapun, seseorang penterjemah atau jurubahasa tidak harus terlalu bergantung kepada teks sumber kerana teks sumber itu tidak semestinya adalah betul dan tepat. Oleh itu, kita harus melakukan pembetulan dan pengubahsuaian dengan prinsip tidak mengubah makna asal teks sumber tersebut. 

Cadangan

1. Sebagai seorang penterjemah/jurubahasa, kita mesti menguasai kedua-dua bahasa sumber dan bahasa sasaran dengan baik supaya kita tidak akan menginterpretasikan teks sumber dengan salah dan dapat membetulkan sekiranya teks sumber adalah salah.

2. Sekiranya penterjemah/jurubahasa menterjemahkan teks dalam sesuatu bidang yang tidak mahir, maka kita boleh merujuk kepada pakar bidang tersebut ataupun pihak yang berkaitan ataupun mahir dalam bidang tersebut supaya kita benar-benar memahami sesuatu teks sumber.

3. Seseorang penterjemah/jurubahasa harus cekap mengaplikasikan kaedah-kaedah terjemahan dan tidak harus terlalu bergantung kepada teks sumber kerana teks sumber tidak semestinya adalah 100% tepat dan kita perlu melakukan pembetulan dan pengubahsuaian sekiranya perlu.

4. Seseorang penterjemah/jurubahasa haruslah sentiasa bersedia untuk menghadapi segala masalah yang akan dihadapi semasa melakukan terjemahan.

Glosari

1. rona = warna

-----------------------------------------------------------------------------

Tunjuk ajar dan kritikan serta cadangan amat dialu-alukan. Maklum balas akan saya buat secepat yang mungkin. Terima kasih atas kunjungan anda.

Terjemahan pandang

Monday, November 11, 2013

Persediaan Interpretasi : Masalah dalam Menterjemahkan Artiken Fesyen



Pembentangan di atas membincangkan masalah-masalah yang dihadapi semasa menjalankan latihan terjemahan pandang. Tajuk berkaitan dengan bidang fesyen dan latihan tersebut memerlukan saya untuk melakukan terjemahan pandang dari bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia.

Masalah Pertama: Terjemahan pandang dilakukan secara kata demi kata

Masalah ini timbul kerana saya tidak pernah melakukan terjemahan pandang sebelum ini dan saya tidak dapat melihat teks itu secara keseluruhan dan menterjemahkan dengan lancar. Hal ini demikian kerana saya mempunyai ingatan jangka pendek (short-term memory) yang kurang baik dan hanya dapat melihat kata demi kata lalu menterjemahkannya. Oleh itu, terjemahan pandang yang dilakukan itu mempunyai banyak jeda yang tidak sepatutnya berlaku dan terdapat bunyi-bunyi seperti "err" , "hmm" dan sebagainya ketika menemui perkataan yang tidak faham atau ayat yang sukar diterjemahkannya.

Masalah Kedua: Kegagalan dalam menterjemahkan kosa kata yang tidak faham dalam teks sumber

Disebabkan penguasaan bahasa sumber yang tidak bagus, maka saya menghadapi masalah untuk memahami sesetengah perkataan Inggeris dan gagal menterjemahkannya. Contohnya dalam teks sumber:


Teks Sumber

Terjemahan Pandang

Teks Sasaran yang Sepatutunya

There are a few obstacles but the future isn't that bleak for online shopping in these two countries.

Terdapat beberapa kekangan dalam membeli-belah di kedua-dua negara tersebut.

Walaupun terdapat kekangan dalam dunia membeli-belah dalam talian di kedua-dua negara tersebut tetapi masa depannya masih cerah lagi.

Saya tidak memahami perkataan "bleak" dalam teks sumber tersebut. Dalam latihan terjemahan pandang yang saya lakukan buat kali pertama itu, saya langsung tidak menterjemahkan ayat tersebut kerana saya tidak faham ayat kedua itu disebabkan saya tidak faham satu perkataan sahaja. Selepas mencari kamus, barulah saya faham maksud perkataan itu ialah dingin dan suram (Kamus Dwibahasa Oxford Fajar).

Bagi terjemahan yang sepatutnya pula, saya tidak menggunakan maksud asal perkataan tersebut tetapi menggunakan kaedah modulasi dengan menterjemahkan ayat itu menjadi "masa depannya masih cerah lagi". Ayat terjemahan itu mampu menyampaikan maksud ayat sumber itu tanpa memberikan maksud perkataan yang saya tidak faham itu. Oleh itu, saya memahami bahawa sekiranya saya menemui perkataan yang tidak faham semasa melakukan terjemahan pandang, maka saya boleh meneka maksud perkataan itu berdasarkan ayat keseluruhan dan menterjemahkannya kepada satu ayat yang maksudnya hampir sama.


Masalah Ketiga: Kegagalan dalam memberikan padanan yang sesuai

Penguasaan bahasa sasaran yang lemah menyebabkan saya tidak memberikan padanan yang betul atau sesuai semasa melakukan terjemahan pandang. Saya tidak dapat memberikan padanan yang betul atau tidak pasti sama ada padanan yang diberikan itu bersesuaian/betul atau tidak? Contohnya dalam teks wujudnya frasa nama "online shopping" yang merupakan aspek utama yang dibincangkan dalam teks itu. Semasa melakukan terjemahan pandang, saya tidak pasti padanan atau terjemahan yang betul ialah "membeli-belah atas talian" atau "membeli-belah dalam talian". Hal ini demikian kerana sekiranya perkataan "online" diterjemahkan secara literal, maka terjemahannya akan menjadi "atas talian". Akan tetapi, terjemahan yang betul dan tepat ialah "atas talian". Disebabkan saya tidak menguasai bahasa Malaysia dengan baik, maka saya menghadapi masalah ini semasa melakukan terjemahan pandang.

Masalah Keempat: Kegagalan dalam mengaplikasikan kaedah terjemahan

Pengalaman dalam melakukan terjemahan pandang sememangnya tidak banyak dan saya berasa agak cemas semasa melakukan terjemahan pandang yang pertama. Sehubungan dengan itu, saya tidak dapat mengaplikasikan apa-apa kaedah terjemahan semasa melakukannya kerana saya tidak dapat melihat teks sumber tersebut secara keseluruhan. Hal ini demikian kerana daerah penglihatan saya telah berkurang kepada frasa atau perkataan sahaja dan saya hanya boleh menggunakan kaedah terjemahan kata demi kata.


Masalah Kelima: Kegagalan dalam menterjemahkan kata nama khas

Pengetahuan am yang cetek menyebabkan saya tidak dapat memahami atau mengetahui sesuatu kata nama khas yang digunakan dalam teks sumber tersebut, Contohnya, "World Wide Web" merupakan satu kata nama khas yang tidak dapat saya terjemahkan kerana saya tidak mengetahui perkara atau benda tersebut. Semasa melakukan terjemahan pandang, saya hanya boleh mengekalkannya supaya tidak mengubah sebarang makna asalnya.

Cadangan :

1. Sebagai seorang penterjemah atau jurubahasa, kita mesti menguasai bahasa sumber dan bahasa sasaran dengan baik sekali supaya tidak akan menyampaikan mesej yang salah semasa melakukan terjemahan.

2. Seseorang penterjemah atau jurubahasa juga perlu mempunyai asas terjemahan yang sangat kukuh supaya beliau dapat mengaplikasikan teori-teori terjemahan yang bersesuaian semasa melakukan terjemahan.

3. Seseorang penterjemah juga harus banyak membaca supaya memiliki ilmu pengetahuan yang pelbagai dalam pelbagai bidang supaya dapat melakukan terjemahan dalam laras-laras yang berlainan.

Glosari:
1.  bleak - dingin, suram
2.  impetus - dorongan
3.  intuitive - intuitif, maju

-------------------------------------------------------------------


Tunjuk ajar dan kritikan serta cadangan amat dialu-alukan. Maklum balas akan saya buat secepat yang mungkin. Terima kasih atas kunjungan anda.


Teks sumber : Why is Malaysia Fashion and clothing one of the best ranked apparel industry?

Terjemahan pandang : Tekan sini untuk muat turun. Terima Kasih.